Tuesday, October 25, 2011

MEMORI SILAM MENGGAMIT KENANGAN

 Kek terawal saya bersama Loveliana Cakes

Semakin hari semakin ramai yang meminati bidang menghias kek.  Sekali gus, semakin ramai pula yang terjun dalam perniagaan kek berhias.  Ada yang berjaya mengetengahkan hasil kreativiti yang tinggi dan diminati seperti Yatt'slilkitchen dan Nina Cybercake yang hasil tangan mereka amat saya kagumi.  Saya juga dengan masa yang teramat cemburu, mencuri-curi masa menyiapkan tempahan. Walau begitu, saya tidak boleh mementingkan diri dan terlalu tamak menerima tempahan sehingga keluarga terabai.

Terkenang 3 tahun yang lepas, bermula akhir Disember 2009, atas sokongan sahabat Narimah Abdul Manaf atau Nerry Nerry Strawberry, saya melangkah ke alam dekorasi kek.  Sifu yang pertama ialah Ayu Liana dari Loveliana_Cakes.  Sebelum itu, Chef Noraini Zakaria memantapkan pengetahuan saya dalam mengadun kek dan mempelajari cara menghasilkan kek-kek popular seperti kek Black Forest, Tiramisu dan pelbagai lagi.  Banyak yang saya pelajari dari Chef Noraini.  Malah sehingga hari ini, saya masih lagi mengutip ilmu baking dari beliau.  Ibu saya juga pencetus minat dalam bidang ini. 
Kek pertama di Aniz Baking Center bersama Chef Noraini.  Turut hadir
dalam kelas ini ialah Norazaliza Awang, Pemenang peringkat Zon, Pertandingan Memasak Semahir Chef, Cabaran Daisy 2011.

Mengimbas kembali saat menimba ilmu dari sifu Liana, bermula 10:00 pagi hingga 5:00 petang bertempat di kediaman beliau, saya mula mengenali buttercream, nozzle, piping bag dan warna.  Percubaan pertama membuat cupcakes membuat saya teruja untuk menimba lebih banyak lagi ilmu dalam bidang ini.  Semangat berkobar-kobar, bak kata orang, benda baru, excitedlah nak belajar.  Akhirnya selepas 2 hari berkampung di rumah Sifu Liana, maka terhasillah beberapa jenis hiasan kek yang saya sendiri tidak percaya membuatnya sendiri.

Tiga tahun berlalu, saya masih mencari dan mengutip ilmu di sana sini.  Hasil tangan saya tidaklah secantik decorator yang lain namun saya bersyukur dapat melakukannya dengan baik.  Sungguh tinggi ujian bidang ini tambahan bekerja di kalangan orang-orang yang mengenali chef-chef terkenal.  Kurang sokongan dan dorongan positif yang diterima dari persekitaran, kadang-kadang menghiris nipis semangat untuk terus kekal dalam bidang ini.

Kini Anak tunggal saya semakin membesar dan memerlukan perhatian memandangkan suami saya terlalu sibuk.  Jadi, masa saya peruntukkan untuk kek semakin singkat.  Anak adalah harta dan pemberian yang amat besar Allah swt.  Mendidik anak tunggal saya ini menjadi insan berakhlak tinggi dan mulia menjadi keutamaan saya waktu ini.  

 Tempahan Pertama dari Intan Syazliana, dari unit Wanita Hari Ini, TV3


Saya berdoa kepada Yang Maha Esa, agar saya akan terus ujud dan dikenali walau tidak segalak decorator lain di dalam bidang ini.  Ucapan setinggi-tinggi terimakasih kepada yang menyokong dan terus memberi galakkan dan semangat.  Syukur Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment