Friday, June 27, 2014

KEMBALI BERTAMU, MARHABAN YA RAMADAN

Salam Ramadan.

Dua hari lagi kita semua akan memasuki bulan penuh kerahmatan, bulan penuh keampunan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan.  Bulan yang auranya lain.  Suasananya indah seolah-olah dunia ini dicuci dari segala kejahatan.  Waktu siangnya aman, waktu malamnya mendamaikan.  Betullah pintu syurga di buka di bulan ini.  Cahaya dan bau wanginya sampai ke bumi.  Allah! Allah! Allah! sukar hendak digambarkan betapa lainnya bulan Ramadan ini.

Kadang elok kita kenangkan apa yang telah kita lakukan di dalam kehidupan ini.  Insafi diri sebab semua yang ada ini hanya pinjaman belaka. Kadang kita tak perasan menyakitkan hati jiran, orang keliling kita.  Kadang tu kita menyinggung perasaan orang lain tanpa kita sedar.  Ya Allah, sebetulnyalah segalanya pinjaman belaka. Hari ini kita sihat, esok mungkin akan terlepok sakit.  Hari ini kita banyak duit, kaya, esok mungkin kita pula yang menadah tangan mohon simpati orang lain.  Hari ini kita sangat egoistik, kitalah yang paling handal dan hebat, hari esok, Ya Allah, semua itu mungkin sudah tiada lagi.  Pinjaman dan sementara.  RahsiaMu ya Allah, tiada siapa yang tahu.


Sempena Ramadan ini, bersihkan hati, buang segala kekotoran, buang keegoan.  Cari ilmu supaya Ramadan kita tempuhi dengan penuh keikhlasan.


Sebenarnya banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini yang menyedarkan saya.  Ibarat orang ditolak kuat dari belakang, jatuh tersembam ke tanah, terhantuk kuat kepalanya.

Menjelang Ramadan ujian Allah swt menimpa sahabat tempat saya bekerja, mungkin ramai yang kenal nama ini, blogger dan penyiar Mazidul Akmal Sidik.  Mazidul tegap, namanya besar, blognya dilawati jutaan pembaca, suka menolong orang, suka bergurau walau kadang-kala guraunya kasar, kalau tak kena gaya guraunya membangkitkan kemarahan.  Ya Allah berilah kemudahan kepada beliau.  Beliau sakit, terlantar di wad ICU, di hospital swasta di Bangsar.  Kini tidak sedarkan diri.  Sudah seminggu saya tidak mendengar suaranya yang garau dan kuat.  Kali terakhir saya bercakap dengannya pada hari Khamis minggu lepas, hari dia dimasukkan hospital.  Masih segar, masih kuat suaranya.  Masih boleh minta saya sediakan itu dan ini.


Jumaat ini dia sudah menjalani dua kali pembedahan untuk mengurangkan bengkak di otak.  Saya mengajak sahabat pembaca sekelian, sempena Ramadan Al-Mubarak, bulan seribu rahmah dan nikmat ini kita doakan dia sembuh jika itu yang terbaik untuknya, dan segera dapat kembali ke pangkuan keluarga. Sekiranya takdir sebaliknya dipermudahkan segala urusannya. Buat isteri beliau, Fazlin dan anak-anak, agar tetap sabar dan redha dengan ujian ini.

Apalah sangat yang ada pada kita ini yang kita nak bangga-banggakan.


Lif membawa ke lantai ICU

Ramadan juga bulan umat Islam digalakkan melebihkan sedekah.  Bulan yang lebih segala-galanya dari segala sudut.  Ibadahnya lebih baik dari ibadah sebelumnya, malamnya di hidupkan solat sunat tarawih dan solat-solat sunat yang lain, pertuturan lisannya maupun di alam maya lebih baik dari sebelumnya, pendekata Ramadan menjadikan kita insan yang lebih baik dari yang baik.

Macam-macam cara nak menolong mereka yang kurang mampu.  Macam Charity Sales office saya ni.



Walau tak dapat banyak, sedikit jariah kami untuk golongan yang memerlukan. Semoga Allah memberkati hasil jualan amal kami.  Saya jual kuih tiram.  Takde dalam gambar.



Hasil lelongan barangan peribadi personaliti juga disalurkan ke tabung jariah.  Ya Allah, berkatilah usaha kami ini.


Di Akhir acara, booth Safiyya menang gerai paling 'happening'.  Tahniah pada adik-adik yang bertungkus lumus menjual sampai kering air liur.  

Baiklah sahabat.  Sampai di sini dulu.  Selamat berpuasa, semoga Ramadan kita kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dan pertemukan kami dengan Ramadan yang akan datang ya Allah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.




2 comments:

  1. salam ramadhan zana....my doa goes to mazidul moga di ringankan penderitaannya, aaminn

    ReplyDelete
  2. Terimakasih McK. Saya jyga mendoakan McK Semoga sentiasa dirahmati dan diberkati. Aaamin..

    ReplyDelete