Monday, January 28, 2013

KUIH LAMA SI BADAK BERENDAM - RESEPI

Salam 

Saya doakan kesejahteraan rakan-rakan blogger dan pengunjung senyap blog ini.  Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Cuti panjang Maulidur Rasul dibawa ke Perayaan Thaipusam, ramai yang ke luar kota, menghabiskan waktu kualiti bersama keluarga, sahabat taulan.  Saya tetap di rumah, tak kemana-mana.  Semua projek memenuhi kehendak tekak yang saya plan nak buat pada hari Sabtu lepas terbengkalai.  Alahai....Bersyukurlah tatkala sihat.

Konon nak buat apam gula merah yang Muaz suka, mak minta buat lagi Craze Marble cake yang saya buat minggu lepas, nak buat badak berendam segala, punah ranah dek sakit kepala.  Allah sayangkan umatnya diuji dengan pelbagai ujian.  Syukur Ya Allah! 

Sabtu, Muaz tak ke kelas Qiraati, tidak juga ke latihan tae kwon do, tidak juga ke mall macam yang saya janji pada dia.  Kasihan anakku.  Sangat-sangat tidak berdaya rasanya.


Snek petang saya cuma gorengkan drummet, makan dengan sos. Bolehlah ye Muaz..  

Alhamdulillah, Ahad segar bugar rasanya.  Agak bersemangat memulakan pagi.  Rutin biasa hantar Muaz training.  
Sementara nak tunggu jam 10 pagi saya menggodek Craze Marble Cake untuk Yani dan mak-mak yang tengah tunggu anak-anak mereka training.  Tapi akhirnya....


mak-mak tak berapa nak merasa tapi dihabiskan oleh anak-anak yang lapar lepas training 4 jam.   Dah melompat, berlari, menendang dan macam-macam lagi, mana tak lapar ye tak!..Nyesal bawak sikit.  Patut bawak whole cake untuk anak-anak ini.  
  

 Craze Marble Cake


Isnin, Hajah Cik Wok bersemangat juga nak buat kuih badak berendam.  Saya buatkan inti dan mak membancuh adunan tepung.


Resepi Badan Berendam

Bahan-bahannya main agak-agak je ni.  Kalau nak buat nanti test dulu ye)

Bahan tepung
1.  Ambil 3/4 tepung pulut dari plastiknya
2.  Lebih kurang 2 cawan air sejuk dicampur 1 sudu kecil garam

Cara Mengadun
Bancuhkan tepung dengan cara memasukkan air bercampur garam sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan. (seperti gambar di atas.)


Bahan-bahan Inti

1. 1 biji kelapa parut (yang muda)
2.  Satu ketul gula melaka
3.  Sedikit air

Cara memasak
Cairkan gula melaka atau gula merah di dalam kuali bersama sedikit air.
Campurkan kelapa parut kedalam gula melaka tadi dan gaulkan sehingga masak


Bahan-bahan Kuah Santan

1.  Santan dari 1/2 biji kelapa
2.  2 sudu tepung gandum
3.  1 sudu teh garam
4.  Lebih kurang 1 1/2 cawan air
5.  2 helai daun pandan

Cara-cara

Satukan semua bahan dan masak atas api kecil sehingga mendidih serta pekat dan tutup api.  Kacau selalu supaya kuah santan tidak berketul


Ambil sedikit adunan tepung, bulat-bulatkan, buat lubang di tengah dan masukkan inti kelapa tadi.  Tutup dan bulatkan semula adunan. Buatlah sehingga habis.


Panaskan air di dalam periuk, bila menggelegak, masukkan kuih yang sudah siap tadi.  Bila kuih dah terapung maknya kuih dah masak la tu.


Bila dah masak, masukkan la kuih tu dalam kuah santan yang kita dah masak tadi.  Boleh la masukkan dalam mangkuk dan makan...


Sedap banget nih..makan di beranda rumah mak dengan hembusan angin sepoi sepoi bahasa.  Sangat nyaman.

Sehingga kita berjumpa lagi in sya Allah..

Tata! Wassalam

Selingan


Bersyukurlah, kita masih diberi rezeki menikmati hidup sedangkan ada yang sudah dipanggil menghadap Ilahi
Bersyukurlah, kita masih punya orang yang kita kasih dan dikasihi sedangkan orang lain hidup sebatang kara
Bersyukurlah, kita masih punya apa yang orang lain sudah tidak punya


Percayalah setiap kesulitan ada kemudahannya dan setiap kejadian ada hikmahnya

Thursday, January 24, 2013

MAULIDUR RASUL DAN CRAZE MARBLECAKE - RESEPI

Salam Maulidur Rasul, selawat dan salam keatas baginda.

Nak refresh ceramah Professor Dr Muhaya semalam di radio IKIM antara penyebab migrain ialah terlalu banyak berfikir, selalu was-was dan tidak yakin, hati tidak bersih dan selalu mencari kesalahan orang lain, susah memaafkan orang lain dan tidak menjaga pemakanan.  

Oleh itu, marilah kita sama-sama perbaiki akhlak dan mencontohi junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. 

Nak sambung sikit, doktor kata migrain yang menyerang saya malam tadi disebabkan oleh perubahan hormon, maklumla umur dah 4 siri bukan disebabkan oleh penyebab di atas.

Selain dari tu, saya ingin nak mengucapkan tahniah kepada Ustaz Wan Alias yang menerima Anugerah Maulidur Rasul 2013 Peringkat Kebangsaan.  Ustaz Wan sangat-sangat dekat dengan Jabatan Majalah dan Dokumentari suatu masa dulu.  Penggerak program Jejak Rasul.

Tengok kat TV tadi, nampak segak dan bergaya Ustaz Wan.  Sentiasa muda nampaknya.


Pagi yang penuh dengan rahmat.  Hujan turun dengan lebatnya.  Tengok gambar yang saya ambil di belakang bilik saya.  Sejuknya.

Semalam dapat encik kola kola ni dari rakan blogger yang juga rakan sepejabat, Mazlin Nordin.  Baru balik dari Australia untuk assignment Unsung Places.  Terimakasih Cik Inn.  Nak tau cerita Cik Inn di Australia tekan sini.Cik Inn Mazlin Nordin


Pemandangan indah di beranda mak.  Orkid tengah kembang semuanya.  Ada yang dah dimakan ulat.  Kumbang ni kalau tak disembur, memang situlah tempat dia berkubang.. nanti kau!!!



Tengok orkid-orkid ni sedap gak minum kopi o pekat dengan kek kan.. Jom buat kek.  Sayakan pencinta kek butter tegar.  Kek lain tu  kalau buatpun ala-ala laku tak laku je kat rumah ni.  Baik buat kek butter kan..kan..

Tengok bunga ya, jangan tengok kayu pokok manggis yang jadi tumpang pokok orkid tu..



Tu dia.. kek mentega adunan tiga rasa.. panas lagi tuh..


Pandan, coklat dan horlick... nak resepi kat bawah..

Craze Marble Cake 
I LOVE sangat-sangat BUTTER CAKE.. sebab tu namanya Craze.. hehe..)


Bahan-bahan Kek

250g butter
120g gula kastor
120g susu pekat manis
230g 130g tepung kek (tepung gandum pun boleh) maafla banyak-banyak. Tak perasan silap taip.
6 biji telur gred B
100g horlick
1 st baking powder
1 sb serbuk koko
1 st paste pandan



Cara Mengadun

1.  Pukul butter dan gula hingga gebu dan berkrim
2.  Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul sebati
3.  Campurkan susu pekat ke dalam adunan
4.  Masukkan sedikit demi sedikit campuran tepung dan horlick, dikacau sebati
5.  Bahagikan adunan kepada 3 bahagian.  1 bahagian dicampur serbuk koko, 1 bahagian dicampur paste pandan dan 1 bahagian lagi dibiarkan rasa asli
6.  Tuangkan adunan ke dalam tin mengikut kreativiti masing-masing, macamana nak jadikan corak-corak tu.
7.  Bakarlah sehingga masak dan garing

Nota : cara saya meletakkan adunan, masukkan dulu separuh adunan putih ke dalam tin, ratakan supaya semua bahagian bawah tin penuh, masukkan adunan coklat dan pandan dalam piping beg dan pipekan cara berselang.  Selepas itu ambil setengah lagi adunan putih letakkkan diatas adunan coklat dan pandan tadi.  Perlahan-lahan ratakan.  Akhir sekali pipekan lagi lebihan adunan coklat dan pandan sehingga habis.  

(harap paham lah ye.  Lupa pulak nak snap gambar masa buat tadi).

Ada yang tanya tips untuk bunga orkid tumbuh mekar segar dan bugar, menurut mak saya iaitu Hajah Cik Wok, bunga orkid perlu disiram dengan air kulit kerang yang direndam semalaman.  Siram beberapa kali dalam setahun.  Hasilnya bunga yang besar dan lebat.

Jumpa lagi dilain kesempatan.

Nota : Pesanan Prof. Muhaya, jangan rasa kita lebih besar dan lebih baik dari orang lain.  Cuba fikirkan apa yang hendak kita sumbangkan dikala badan kita masih sihat ini.



Tuesday, January 22, 2013

OSEM DAN TAK OSEM


Salam

Harap semua sahabat-sahabat blogger dan silent reader (come onlah show yourself, nak juga kenal siapa pengunjung blog saya) semua sihat walafiat, dilimpahi rahmat ilahi.

Baru Selasa, dan terasa sangat stress dan alangkah baiknya kalau ada keajaiban berlaku.  Ada ke keajaiban tu?  Fikir perangai manusia yang mood swingnya macam perempuan mengandung sangat contribute kesakitan kepada kita dan sangat meletihkan. 

Sangat-sangat harap dapat lari dari situasi yang tak osem macam ni.




Jalan-jalan Face Book ternampak gambar anak buah, anak kepada kakak nombor 5 dapat penghargaan atas sumbangan dalam bidang sukan Tae-Kwon-Do UiTM.  Kak Ngah sangat hebat. Tahniah la Kak Ngah, ucu sangat-sangat happy baca berita ni.  Harap Muazpun jadi hebat macam Kak Ngah. 

Hebat bersukan, hebat dalam pelajaran.


Pinjam gambar jap.  Tak de copyright protectedkan.  Ini gambar Kak Ngah tengah beraksi dalam pertandingan apa entah dan kat mana entah.


Bilalah agaknya dapat tengok Muaz beraksi macam Kak Ngah.  

Alhamdulillah jumpa gambar yang OSEM ni counter semula perasaan yang tak OSEM disebabkan oleh situasi yang sangat-sangat tak OSEMnya.

Sambil berdoa agar keajaiban berlaku dalam staff performance appraisal tahun ini, saya ucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul dan berharap (banyaknya harapan..)....


 dapat beli kamera samsung yang OSEM ni..

Tata!

Saturday, January 19, 2013

SANTAI

Salam Sabtu.  

Alhamdulillah Ya Allah, masih diberi peluang bernafas di bumi ini,
Alhamdulillah Ya Allah, masih diberi rezeki untuk bersama insan-insan disayangi
Alhamdulillah Ya Allah, masih mempunyai apa yang mungkin orang lain sudah tidak ada
Alhamdulillah Ya Rabb.

Bulan ini adalah bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.  Mari kita sama-sama berselawat kepada insan yang menerangi sekelian alam dengan kasih sayang ini.  Tiada insan lain yang patut menjadi idola kita selain Baginda.  

Wahai Muhammad, sekiranya engkau masih bersama kami......

LAW KANA BAINANA

Kalaulah Kekasih-Mu, masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah 
dengan haruman Baginda, sebelum hilangnya,
rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan Kekasih-Mu.

Berada berhampiran Baginda, jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah, akan diperkenankan,
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna,
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda, 
Wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba...

Hidayahmu kepada alam merata meluas,
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan pemberi hidayah,
Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih,
Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.

Kutebus diriku dengan dirimu, wahai Kekasihku,
Nabi Muhammad yang mulia, yang asing,
Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum,
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam....

Wahai Kekasihku, wahai Nabi Muhammad
Wahai doktor hatiku, wahai yang dipuji dipuja
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.





Rindu walau tak pernah bersua!

Kalau masih ingat entry sebelum ini, saya bercerita mengenai bunga yang Muaz tanam.  Sekarang bunga itu sudah kembang bunganya.  Bangun tidur saja Muaz sudah keluar memeriksa pokok cili dan pokok bunganya.  Tak gi ngaji ye pagi ni!...



Bunga ni sebenarnya kecil saja.  Batang pokoknya panjang.  Cuma sebatang yang hidup.  Yang lain tak menjadi.


Kudup yang belum kembang


Mekar!  Muaz sangat bangga


Nampaknya Muaz dapat skill wan (mak)


Buang rumput, rumput kat pasu sebelah-sebelah sekali ye.


Sejuk hati! Tak mandi, tak gosok gigi dah berkebun


Simpan tenaga untuk petang nanti.


Selingan.....


Dapat kad jemputan ini dari tangan bakal pengantin sendiri dua hari lepas.  In sya Allah kalau tiada aral yang melintang, hadirlah kami ke resepsi kamu, Zahan.  

Thursday, January 17, 2013

MAAF ANAKKU!

Salam!  Semoga semuanya dibawah limpahan rahmat Ilahi.

Sedih!

Kena piat telinga pagi tadi


Dari kecil sentiasa tersengeh bila gambar diambil

Budak yang ceria

 suka bercerita dan kelakar

Anak buah lebih besar dari bapa saudara


Tak pernah meminta itu ini, sangat happy bila dapat slurp aiskrim yang amat susah untuk dapat bila dengan ibu


"I hate my big ears", cried Muaz bila saya pulas telinga dia pagi tadi. 

Sebab Muaz susah bangun tidur

Syukur alhamdulillah atas anugerah yang tidak ternilai ini.  Tidak pernah bersungut bila ke sekolah.
Tidak pernah mengadu penat bila buat homework.
Tidak pernah tak nak menolak bila beraktiviti tae-kwon-do walaupun latihan bermula awal pagi dan tamat pada jam 12:00 tengahari.

Ibu panjatkan doa yang baik-baik untuk kamu.  

Ampunkan aku Ya Rabbi, maafkan Ibu, anakku!.






Sunday, January 13, 2013

MAKAN! MAKAN! MAKAN! BISMILLAH..


Salam Ahad.  Hari yang penuh dengan keberkatan.  Dari pagi hingga ke petang,  makanan melimpah-ruah.  Alhamdulillah rasa sangat dirahmati dan diberkati.

Alfatihah dan doa untuk Ayin, anak jiran yang baru saja pulang ke rumah lepas terlibat kemalangan yang menyebabkan kepalanya dibedah.

Cepat sembuh Ayin!.



Sangat-sangat bersyukur walau terbangun agak lewat pagi ni Along dah menyediakan hidangan pagi yang hebat, Pengat Durian dan Lempeng (memang dengar pelik, pengat durian pagi-pagi ye).  Bila dah bangun lambat, segala-gala jadual lari.  Dalam masa 1/2 jam saya harus siapkan Muaz untuk training tae-kwon-do.  Kena bagi makan sebab latihan hingga jam 12:00 tengahari.  

Alhamdulillah, Along juga dah siapkan nasi lemak dengan sambal tumis ikan bilis yang sangat lazat.  Terimakasih mak, turunkan resepi sambal tumis yang terbaik ini.  Terimakasih Along masak makanan yang sangat sedap.

Saya curi juga masa buat nasi goreng, Muaz suka.


Sejak minggu lepas, saya berkenalan dengan seorang lovely lady, Yani Sukardi yang anaknya sama-sama training tae-kwondo-do.  Sangat-sangat happy go lucky orangnya.  Kulitnya tegang sebab dia jual pil tegang wajah.  Kalau nak tegang boleh contact dia. Macam-macam cerita dia.  

Dapat lagi kasih sayang di sini.  Alhamdulillah atas segala kasih sayang yang dinikmati hari ini. 


Memang dah lama teringin nak buat kek.  Lama dah tak buat Continental Cake ala-ala Secret Receipe.  Sementara menunggu jam 12 tengahari nak pick-up Muaz, godek adunan kek span vanilla.

Alhamdulillah, babah Muaz hari ni offer diri untuk pick-up Muaz.  Dapatlah saya habiskan kek yang memang dah lama jadi idaman nak cuba.  Lepas masak makan tengahari, dan kek dah sejuk, ganache white chocolate pun dah tersedia, sayapun menyingsing lengan baju menyudahkan apa yang patut disudahkan.


Nampak tu?.. Walnut White Chocolate yang kaya rasa susu dihias dengan parutan coklat putih. 

Salutan ganachenya memang 'fail'.  Mungkin terlebih susu.  Kena tanya Pakar Coklat tanahair yang popular, Chef Amer ni. Bulan depan ada kelas dengan Chef tersohor ni.  Ada peluanglah nak korek rahsia resepi white chocolate ganache. 


Di Secret Receipe ada Chocolate Macadamia, di sini ada Walnut White Chocolate.  Dah walnut je yang ada, guna je lah.


Elok-elok siap je, cucu saya sampai.  Habis diet dia hari ni. 
"Sedap tak Nurul?"

Yang makan yang muda-muda je, Mak langsung tak usik, Along langsung tak pandang.  Mak dan along lebih suka kek pelangi klasik.



Along memang peminat pengat.  Petang pengat keladi pulak.  Walnut White Chocolate bertemu pengat keladi.. uuhh huhhh.. perlu banyak minum air suam lepas ni.

Saya sebenarnya memang suka dengan Cake Continental.  Selain guna fresh cream yang lebih sihat dari buttercream, rasanya juga lebih sedap.  Dah lama sungguh tak buat Fresh Fruit Cream, Mango Tango, Black Forest, Rich Peachy Cake, dan banyak lagilah.

Memang ada permintaan untuk supply kek-kek jenis ini ke Bakeri Resepi Mama milik Cikgu Su dan saya teruja untuk menerima.  Malangnya, masa saya lebih untuk Muaz yang sedang membesar dan perlu banyak perhatian.

Terimakasih Kak Su sebab percaya pada saya dan maaf kerana tak dapat memenuhi pelawaan Kak Su.

Matapun dah layu, hari pun dah lewat.  Izin saya undur diri malam ini.  Bersihkan hati supaya hari esok kita dapat mulakan dengan hati yang lapang dan tenang.

Wassalam.

Saturday, January 12, 2013

PUTIK

Salam Sabtu.  Semoga semua dalam keadaan yang baik untuk mengisi hari kualiti bersama keluarga tersayang.

Ustazah kata sakit dan penat adalah ujian Allah.  Makanya saya redha dari balik kerja hari Jumaat dan sepagi Sabtu terbaring di atas katil melayan kepala yang sakit.  Migrain ubatnya lelap.  





















Sebab satu pagi berbaring, larat tak larat bangun juga mencuci baj uniform sekolah Muaz dengan tangan, puas hati bila jemur baju putih melepak, dah tu hantar dan ambil Muaz dari kelas Qiraati, ilmu Allah tak boleh diabaikan, makanya, petang ni saya ambil keputusan tak balik rumah lepas hantar Muaz ke kelas Tae kwon do.


Saya duduk lepak bawah pokok dan menulis blog ini sambil makan apam balik nipis.

Perhati dari jauh budak-budak ni training, teringin pulak nak join tae kwon do.  Selain sihat boleh gak pakai waktu-waktu terdesak.  Tak dapat bayang di usia seperti ini nak menendang dan melompat.

Baru nak snap, wira-wira kecil ni dah bersurai

Wira yang duduk sebelah kiri, Rudy namanya baru terima anugerah pelajar termuda memegang talipinggang hijau. Anak kecil ini baru berusia 5 tahun. Mana tau si kecil ini bakal mewarnai sukan Tae-Kwon-Do tanahair satu hari nanti.  Sir Vijay dari Pro-Sport memang sudah banyak melahirkan ahli-ahli sukan terbaik tae-kwon-do.  Syabas!

 Walau anak orang saya tetap bangga.  


Sebelum ke kelas Qiraati, ada perkara menarik perhatian saya.  Pasu-pasu kecil tertanam pokok-pokok cili sedang membesar.  Betullah kajian mengatakan budak seusia Muaz sukakan tanaman.  Ke mana tumpah kuah kalau tak ke nasi.  Mak tanam orkid, cucu tanam sayuran. 

Makan cili tanam sendiri la pulak lepas ni

Masak lemak cili padi bes gak

Selain cili, bujang saya tanam pokok bunga ni, Magnolia tak silap

Dah berputik, tak lama lagi keluar bunga




ini pokok  bunga matahari kata Muaz


Gembur, siram, baja pokok jadi segar dan subur.  Gembur, siram dan baja hati supaya sentiasa ada putik baru dalam kehidupan kita.  Maafkan semua sahabat kita sebelum tidur malam ini supaya putik baru subur dalam hati kita.

Teringat seorang teman yang selalu order kek pelangi dari saya.  Bila beberapa kali tempahannya saya tolak, rupanya dia marah dan kemarahannya telah menjadikan dia berusaha dan sekarang boleh membakar kek dengan sempurna.  Alhamdullillah, saya gembira.  Saya memohon maaf kalau masa berurusan ada kata-kata yang saya anggap gurauan tetapi  dianggap sensitif pula.

 Cuma saya ingin mengingatkan tidak semua orang dalam muka bumi ini mempunyai kehidupan yang mudah, walaupun masa 24 jam yang Allah beri sama.  Ujian dan rezeki yang Allah berikan kepada umatnya tidak sama.  Jadi fahamilah bila saya menolak tempahan, adalah sebab musababnya.

Dah malam, esok rutin saya bermula jam 6 pagi.  Rasanya eloklah saya lelapkan mata dan memaafkan semua insan yang saya kenali.

Jumpa lagi!