Friday, August 24, 2012

KEK PANDAN LAPIS KASTARD - RESEPI


Salam.  Hari ini saya ingin melunaskan janji saya untuk upload resepi Kek Pandan Lapis Kastard atau Pandan Layer.  Semalam memang betul-betul teringin nak makan kek yang sangat sejuk dan nyaman ditekak terutama selepas disimpan dalam peti sejuk.  Makanya saya pun menggodek telur dan tepung untuk dibuat kek span pandan.  Resepi Kek Span Pandan di sini.

Tak sabar punya pasal, bangun je dari tidur keesokkan harinya, perkara pertama yang saya buat ialah buka petiais dan keluarkan kek.  Terus potong dan makan... hehe.. terukkan...

Tak sempat tabur kelapa kering atau deko deko segala... terus potong dan ngap...
 
 
RESEPI KASTAD KEK PANDAN LAPIS KASTAD
 
 
Bahan-bahan kek
 
Sediakan dulu sebiji kek span pandan bersaiz 8" (sila rujuk link diatas untuk resepi kek)
 
Bahan-bahan kastard
Bahan A
180g gula kastor
500ml air pandan
1 sudu makan serbuk agar-agar segera
 
Bahan B
400ml santan pekat
85g tepung Hoen Kwee hijau
1 st pewarna hijau epal
Secubit garam
 
Untuk hiasan
1 cawan kelapa kering
 
Cara Mengadun
 
1.  Kek span pandan dihiris 2 bahagian.  Ketepikan
2.  Campur semua bahan A dan masak dengan api sederhana sampai mendidih
3.  Masukkan bahan B kedalam A dan masak hingga mendidih.  ANgkat dan sejukkan sebentar
4.  Sediakan acuan bulat 8" (loose tin)
5.  Letakkan satu lapisan kek span dalam acuan. Tuangkan 1/3 adunan kastard pandan keatasnya hingga tutup keliling kek
6.  Letakkan lapisan kedua pula dan tuangkan kastard hingga habis.
7.  Hentakkan acuan agar kastard padat di bahagian bawah.  BIarkan kek sejuk dan masukkan dalam petiais
8.  Keluarkan kek yang telah sejuk dari acuan dan salut dengan kelapa kering.
9.  Hias mengikut citarasa masing-masing.
 
Cuba jangan tidak..hehe
 

Sedap..
 
 
 


SELAMAT HARI LAHIR PUAN ZALIFAH....

Hari ni, Jumaat penghulu hari.  Hari ni juga saya nak pulun beberapa entry.  Tulis sekali gus sebab lepas ni tak tau bila lagi saya boleh buka blog dan update.  Sibuk ngalah Perdana Menteri ek!  Hehe..

Syawal ke dua tu hari, rumah dibuka untuk saudara mara sebelah mak yang ramai umatnya.... Ya Rabbi.  Alhamdulillah saya sangat suka berkumpul dengan sanak saudara sebelah mak yang sangat kaya dengan gurau senda.  Kami juga ambil kesempatan untuk 'celebrate' birthday Hajah CIk Wok @ Puan Zalifah, ibu kami yang ke 75 tahun. 

Memenuhi permintaan mak, saya tak dapat tidak menyiapkan tiga jenis kek, kek karot bersaiz 13" (khas untuk golongan pertengahan umur), kek red velvet dengan inti cream cheese bersaiz 11" (untuk golongan muda) dan kek pandan bersaiz 9" (untuk golongan emas).  Alhamdulillah, Hajah Cik Wok sangat-sangat happy.  Semoga panjang umur mak dan harap jangan bertambah laser dah laaa.. heheh..

Kek Pandan yang kaya rasa pandannya (resepi pernah diupload sebelum ini). Tier atas.
 
Red V cream cheese,  Ribbon Rose tak berapa nak menjadi... boleyla ye Mak... hehe..
 
 
Carrot Cake size 13", dah tak sempat nak rose rose... dah ramai yang sampai dan dah lapar.  Apa yang ado je laa.. haha..Tiang pun pakai 7" punya letak terlalu tengah pulak tu.. resultnya, kek di tier 2 tidak stabil. 
 
 
Saya menyiapkan kek tiga tingkat ini tidak sampai 3 jam, express giler.  Mula hajat di hati nak susun stack cake dan deko bunga matahari ada air terjun.  Kelam kabut sana kelam kabut sini, hapahpun tak jadi.  Deko ribbon rose dan rose bud je la.  Tiang kek tu pun tak sama tinggi, di tier 2 pakai 5" dan di tier bawah guna 7".  Apa-apapun majlis dah selamat diadakan.  Alhamdulillah.
 

Gambar-gambar dulu sebelum potong.  Adik-beradik mak yang sangat-sangat havoc  bila jumpa
 


Dimulakan dengan bacaan doa supaya majlis diberkati dan mak panjang umur hendaknya.. amin,,
 

 Famili yang ahli-ahli mudanya lawa-lawa dan handsome-handsome belaka... tu sume kosong lagi tu..
 

Potong cepat mak.. sebelum kek tu roboh... Alhamdulillah tak roboh pun...
 
Terimakasih kepada yang datang, dan membuatkan mak saya gembira.  Tahun depan datang lagi ye.
 
 

 
 


BISKUT ROCHER MALAYSIA - RESEPI

Salam Syawal.  Hari ni dah masuk raya ke 6.   Kawan-kawan yang balik ke kampung mesti ramai yang dah pulang semula ke rumah masing-masing.  Macam saya anak jati negeri Selangor yang tercinta ini kat sini lah jugak..hehe... Tak kemana pun, cuma menziarahi keluarga mertua di Kajang dan saudara mara di sekitar Selangor dan Lembah Kelang sahaja.  Tu pun penat weiii... dari pagi hingga ke pagi...asyik berjalan-jalan saja kerjanya. 

Okelah, semalam saya janji untuk poskan resepi biskut Rocher Malaysia yang sedap tu.  Masih sempat lagi untuk buat biskut ni.  Boleh jamu rakan-rakan pula.  Minggu pertama raya memang khas untuk saudara mara kan... minggu seterusnya menjamu kawan-kawan pulakan.  Resepi di bawah :-


Rocher Malaysia dah disalut coklat
 
 
BISKUT ROCHER MALAYSIA
Sumber :  Zuraini Alias / Majalah Saji
 
 
BAHAN-BAHAN
 
250g butter
15g gula kastor (saya guna gula icing)
1 biji kuning telur
30g serbuk roti
100g serbuk badam
100g tepung jagung
300g tepung biskut
250g badam cincang (dipanggang)
300g coklat masakan (dicairkan)
1 biji putih telur
 
CARA MENGADUN
 
1.  Sebatikan butter, gula icing dan kuning telur
2.  Pukul bahan ini hingga kembang dan gula hancur
3.  Campurkan tepung jagung, tepung biskut, serbuk badam dan serbuk roti.  Masukkan ke dalam adunan telur sedikit demi sedikit.  Uli sebati
4.  Bulatkan doh kecil-kecil dan salutkan dengan putih telur dan badam cincang
5.  Bakar hingga masak.
6.  Setelah sejuk golekkan dalam coklat masakan, biarkan keras dan boleh dihidangkan.
 
Nota :  Biskut boleh juga dibakar tanpa badam cincang.  Setelah dibakar dan disejukkan golekkan dalam coklat masakan dan akhir sekali baru ditabur badam cincang.  Rupanya lebih cantik.
 



Sedap biskut ni..

Thursday, August 23, 2012

SYAWAL MENJENGUK LAGI

Salam Syawal.  Hari ini baru berkesempatan membersihkan sawang di blog saya ni.  Lebih sebulan tak datang sini.  Maaf kepada yang menanti cerita terbaru (eh ada ke yang menanti)?

Sepanjang Ramadan sentiasa sibuk dengan tugasan di pejabat selain menyiapkan tempahan biskut coklat cip.  Alhamdulillah, dengan izinNya semua tugasan dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.  Harap semua berpuashati dan tak serik menempah lagi.  Minggu ni juga dah mula membakar biskut lagi.  Terimakasih banyak-banyak.
 
 
Alhamdulillah....selesai order kawan-kawan

Sebenarnya terlalu banyak aktiviti sepanjang Ramadan.   Ustaz-ustaz dijemput untuk mengimarahkan surau Sri Pentas dengan berkongsi ilmu agama.  Majlis berbuka puasa Primeworks pun ada juga.  Tapi yang ni saya tak join, almaklum berbuka puasa bersama keluarga lebih utama.  Tak lupa juga majlis tadarus al-quran, yang ni pun saya tak dapat nak join sebab diadakan di sebelah petang selepas waktu pejabat.  Di akhir Ramadan pula, kami dapat daging dengan harga yang sangat murah.  Terimakasihlah pada TV3. 

Bercakap pasal biskut raya pulak, tahun ini saya cuma sempat menyediakan 3 jenis biskut saja, biskut cornflakes madu, biskut rocher malaysia yang sangat sedap dan biskut tat nenas seri nona.  InsyaAllah saya akan syer resepi ROCHER MALAYSIA dalam entri selepas ini. 
 
Biskut Rocher Malaysia belum disalut coklat

Setiap kali raya, macam tak sempurna tanpa kek dam, kek pelangi yang sangat wangi dan kek marble coklat.  Semuanya perlu ada sebagai penyeri meja.  Selain itu, saya juga sedaya upaya menyiapkan kek tiga tingkat yang Hajah Zalifah sebut dari tahun lepas untuk birthdaynya pada hariraya kedua.  Dengan masa yang sangat suntuk (almaklum perlu ke rumah mertua juga), saya buatkan kek karot untuk lapisan bawah, kek red velvet untuk lapis kedua dan kek pandan (memenuhi selera warga emas) untuk lapisan atas.  Dekonya sangat simple dengan tiang yang tidak sempurna.  Hai, dah jadi macam kek pengantin pulak ye. Tapi.. takpelah, yang penting mak happy bersama sepupu-sepupunya dan anak-anak buah yang sangat-sangat ramai menyerbu rumah saban Syawal kedua. Alhamdulillah, rendang 8 kilo selesai bersama-sama lontong, lemang, nasi minyak dan lauk pauknya. 
 
Kek Red Velvet untuk tier kedua for mom's birthday... HAPPY BIRTHDAY MOM... Lama giler tak buat kek-kek cenggini...
 
Hari ini dah Syawal kelima.  Rumah masih menerima kunjungan tetamu.  Di dapur bau kek pandan sangat wangi.  Saya nak buat jek lapis kastard pandan.  Esok, nak siapkan tempahan kukis, dan InsyaAllah kalau afa izinNya, shepard pie, kekcawan baldu merah dan kek marble coklat sebagai ole-ole rumah terbuka yang saya akan hadiri.

Selamat meraikan Aidilfitri, maaf zahir dan batin.  Semoga berjumpa lagi!