Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Wednesday, November 6, 2013

JANJI DITEPATI - RESEPI HEH!

Salam

Hari ini 2 Muharram.  Doa saya semoga kita istiqomah dalam menjalankan ibadah samada yang sunat mahupun yang wajib.  Semoga tahun baru ini membawa seribu rahmah dan hijrah kita dari baik menjadi yang lebih baik.  Dari berjaya menjadi lebih berjaya, in sha Allah.

November tahun  ini bolehlah dikatakan bulan sejuk.  Cerah di waktu pagi dan hujan mencurah-curah turunnya bila petang.  Alhamdulillah, rahmat Allah. 


Semalam... errr... hari ni sebenarnya.. saya berjanji pada jam 1:00 pagi, 2 Muharram sebelum melelapkan mata beberapa jam sebelum subuh.

Janji saya resepi kek Pisang berkeju dan sos butterscotch.  Mudah saja membuatnya, rasanya pulak sedap, sangat 'rich', dan ada manis-manis karamel kan.

Sebiji kek bersaiz 8" saya bawa untuk sahabat-sahabat di pejabat.  Sosnya saya biarkan cair supaya bila disapu di atas kek, boleh meresap dan sebati dengan kek pisang

Kek pisang ini pembuatannya sangat mudah dan yang penting sedap.  Boleh juga guna apa juga resepi kek pisang selain dari resepi di bawah.

3 biji telur disatukan dengan 150g gula dan 1 sudu teh ovellette, diadun didalam mixer sehingga kembang.

Masukkan 150g pisang dilenyek dan 180g tepung gandum atau tepung kek yang diayak bersama 1 st Soda B dan 1st Baking powder.  Sedap kalau guna pisang lemak manis dan tidak mengandungi banyak air seperti pisang emas atau rastali.   Pukul sebati.

Perlahankan kelajuan mixer dan tambahkan 180 ml minyak jagung atau butter cair ke dalam adunan.

Akhir sekali masukkan adunan ke dalam loyang dan bakar sehingga masak.


Sebelum kita mengadun frosting cream cheese, sediakan dahulu 3/4 cawan gula perang bersama 2 1/2 sudu besar butter dan 2/3 cawan thick cream.  Campur semua bahan dalam periuk, dikacau atas api perlahan sampai butter cair. Biarkan mendidih sebentar.  Lebih lama dididih lebih pekat sosnya nanti.  Sejukkan.

Saya guna 250g cream cheese jenama Philadelphia.. boleh je kalau nak guna mascarpone tapi RM nye lah yang tak larat kan.  Mahal.  

Cream cheese tu diputar bersama 60g icing sugar yang diayak.  Bila dah sedikit kembang dan tidak berketul masukkan 30g UHT whipping cream.  Kalau tengok adunan kental dan mahukan frosting yang lebih lembut tambahkan whipping cream sedikit demi sedikit sehingga dapat consistency yang kita mahukan.

Semua sudah ada, keknya, frosting kejunya dan sos butterscotchnya, bolehlah disatukan menjadi sebiji kek yang sedap dan menarik.  Caranya mudah

1.  belah dua kek atau bahagi adunan kek kepada 2 bahagian dan bakar di dalam tin kek berlainan
2.  Sapukan sos di atas kek pertama, diikuti dengan frosting keju
3.  Lapiskan kek kedua dan letakkan frosting keju di atasnya, seterusnya disiram sos butterscotch

faham ke tu?  rasanya tak de masalahkan..

Dah boleh potong dan hidang..








Saturday, October 19, 2013

CHEESE DENGAN BISKUT YANG SEDAP

Salam Sabtu

Apakhabar sahabat?  Saya doakan kita semua masih berada di dalam pegangan Allah swt dan ditetapkan iman, masih berada di atas track Allah swt yang lurus.  Amin.


Kek mudah tidak menggunakan alat pembakar, anak dara dan bujang sahabat sekalian pun boleh buat



Kalau nak tau kek apa di atas tu, teruskan membaca ye.

Tak puas makan nasi beryani masa raya hari tu, hari ni masak lagi, kali ni nasi tomato.  Guna rempah nasi tomato segera tu je.  Mudah dan pantas kan.

 Memanfaatkan daging kurban.  Kalio daging kali nih.

Nak jadi cerita, sebelum ni memasak tak pernah lah tak masak nasi tu, kali ni diuji Allah swt sebab tadi ada sikit perasaan riak, kata mudah dan pantas guna paste segerakan. Nasi dimasak mentah. Astaghfirullahalazim!!!

Alhamdulillah, Chef Hanieliza cepat membalas whatsapps beri sedikit tips macamana nak masakkan nasi yang mentah tu.  Nak tau apa?


Tips mudah saja, transfer nasi yang dimasak ke dalam pengukus dan kukuslah 20 - 30 minit.  Alhamdulillah masak.  Terimakasih Kak Liza.



Ayam masak merah in the making.

Update blog pada hari Sabtu atau Ahad memang mengambil masa.  Maklum kita terpaksa mengimbangi antara kerja-kerja rumah yang kita lakukan seminggu sekali dengan tugas-tugas 'supir' demi memastikan anak-anak kita sampai dan diambil dari sesuatu lokasi dengan selamat.

Kadang kita merungut penat, tapi bila difikirkan bagaimana hidup kita tanpa mereka yang kita uruskan kehidupannya.  Bayangkan kita berada berseorangan di dalam sebuah bilik tanpa suami, tanpa anak-anak, tanpa orang yang kita kasihi. Tanpa perlu memasak, tanpa perlu menguruskan rumah dan kehidupan.

Bagaimana?

Pasti rasanya sunyikan.  Jadi, bersyukurlah.  

Kadang-kadang kita rasa anak-anak bermasalah, malas, tidak bersolat sebagai satu yang menyesakkan dada.  Ditambah dengan suami yang tidak mahu menolong kerja rumah.  Ujian dan musibah.  Kadang datangnya bertimpa-timpa.

Teringat kata-kata Ustazah Norhafizah dalam ruangan Usrati radio IKIM "Allah punya plan terbaik untuk setiap seseorang.  Ujian dalam kehidupan adalah asbab Allah mahu menaikkan darjat sesorang.  Musibah ialah satu cara Allah swt mahukan kita mengenal siapa Dia.  Maka muhasabahlah diri setiap kali musibah dan ujian menjengukkan diri". 

Kadang kita lupa, kita tidak sedar betapa berharganya sesuatu itu bila bersama kita.  Kita akan rasakan bila sesuatu itu hilang dari pandangan. 


Jantung pisang di tepi rumah.  Dulu arwah wan selalu rebus jantung pisang untuk dijadikan ulam dimakan bersama sambal belacan.

Saya bersyukur kerana saya masih dikelilingi oleh orang yang saya sayang, saya masih dikelilingi oleh suasana yang saya rasa semasa saya kecil.  Saya sayang semua ini. 



Tak lama lagi dah boleh potong nenas ni.  Paceri nenas?

Minggu lepas, bunga-bunga kantan yang cantik berkembang ni saya agih-agihkan pada sahabat-sahabat di pejabat. Pada yang tak tau, inilah pokok bunga kantan.  Nampak tak di tepi-tepi pokok batang bunga mula menjulur.

Rezeki tanaman kampung dapat dirasai oleh sahabat-sahabat yang tinggal di bandar.  Alhamdulillah.  Anak-anak juga dapat mengenal pokok bunga kantan yang indah ini.

Pokok orkid precious emakpun banyak yang berputik dan mula mengembangkan kembangnya.  Mencantik pemandangan di beranda rumah. 

Khas untuk precious emak, pinang masak.  
Tak mungkin saya meninggalkan kampong saya tercinta ini untuk tinggal di bandar.


Hampir terlupa pasal kek ni. Asyik bercerita pasal tanaman keliling rumah.  Okelah, namanya cheesekut.  Kalau nak resepi ambil sini ye sayepunyebelog.blogspot.com

Pembuatannya simple dan mudah, rasanya sedap cuma kandungannya boleh menggemukkan.  Saya rasa susu pekat boleh diganti dengan dairy whipping cream dan diletak sedikit gula. 

Mulanya saya membaca blog Alonacintamanis ada menceritakan kek ini.  Alona juga ada mesej saya resepinya.  Terimakasih pada Nadt dan Alona.

Cubalah ye, anak-anak pasti suka.

Okelah sampai di sini dulu Sahabat dan marilah kita fikir-fikirkan apakah matlamat hidup kita ini, samada di dunia atau di akhirat.



Booloo ni dah mengakibatkan mata saya bengkak seperti Yoda dalam filem Star Wars tu.  Tulah kan, dah tau allergic kucing, boleh dukung-dukung, usap-usap bulunya.  Kan dah bengkak.

Tuesday, September 3, 2013

PAI EPAL RESEPI

Salam.  Habis dah cerita merdeka.

Sekarang tengah hangat cerita harga minyak RON95 dan diesel turun harga subsidi kerajaan.  Kalau hendak dibandingkan harga minyak di negara jiran contohnya Thailand, harga minyak di negara kita masih murah.  Cuba pergi Singapura atau yang banyak duit pergi ke Korea.  Bandingkan ye.

Turun ke naik ke harga minyak, kerja rumah kita memang tak pernah habis.  Yelah, kita manusia, tak perlu minyak untuk dihidupkan.  Bekerja sampai tutup mata.

Ni cerita hari pagi Ahad.  Rutin biasa.

 Roti Gardenia disapukan sos pasta ditabur oregano, disepah-sepahkan cendawan butang dan sosej, letakkan diatasnya cheese dan di bakar garing.  


 Training tae-kwon-do dari jam 8:00 am hingga ke 12:00 tengahari.  Harap my precious layak masuk sessi kenaikan talipinggang September nanti.  Dah 3 step tertinggal dari sahabat sekalian.

Tengahari, ada jemputan kahwin, jemputan kenduri menunaikan haji dan open house raya. Terimakasih banyak-banyak atas jemputan dan makanan yang lazat-lazat belaka.

(shhhh... nak pergi ke open house pun kena isi minyak gak ni)...


Apple pie hasil dari epal hijau yang dah hampir lisut.  Potong kecik-kecik masak dengan gula perang, letak kismis, secubit serbuk cinnamon, gaul sampai pekat.. dah jadi filling apple pie.


Pie crust resepi Chef Noraini memang sedap lah.  Masa panas ianya lembut dan rangup, bila sejuk pun masih lembut dan rangup.

Pie crust ni senang je nak buat.  Macam buat biskut raya.  Rasanya pun macam tart.  250g butter pukul dengan 100g gula, dah agak-agak kembangnya masukkan 1 biji telur, pukul lagi bagi sebati.  Lepas tu masukkan esen vanilla 1 sudu teh dan 2 sudu besar air.  Dah sebati masukkan 450g tepung gandum.  Uli sampai jadi doh dan tak melekat di tangan.  

Ada yang perap dulu adunan dalam petiais agak-agak 15 minit, tapi saya terus canai dan masukkan dalam bekas kaca tahan panas tu.  Kemaskan dan cucuk dengan garpu supaya bila bakar doh tidak menggelembung.  


Bakar 30 minit (separuh masak)

Sebelum prepare crust pie ni, kita buat dulu filling dia.  Ini cara saya membuat inti pai epal.

Ambil 6 biji epal hijau, buang kulitnya dan potong dadu masak dalam kuali dengan 150g gula castor atau gula perang pun boleh.  Masak sampai epal layu dan gula cair.  Campurkan sedikit kismis (kalau suka) dan sedikit serbuk kayu manis.  Oopss tadi lupa letak.. 1 sudu besar tepung jagung, cairkan dengan sedikit air.  Masuk last sekali ye.  Masak sampai pekat.



Bila crust dah siap bakar, apple filling dah sejuk, masukkan filling ke dalam crust, hias sesuka hati dan bakar semula sehingga masak.  Saya tutup semula isi pai dengan lebihan doh.


Pai lebih cantik dipotong kalau sudah sejuk.  Kalau masih panas dipotong, macam ni la rupanya.

Okelah, sampai berjumpa lagi.  Kita asyik melihat isu kenaikan harga minyak ini dari sudut negatif saja, apa kata kita alih pandangan kita dari sudut positif pulak.

Jumpa lagi semua!.


Sunday, July 14, 2013

SANG TEKAK MAUKAN SANG BADAK BERENDAM - RESIPI

Salam
Buat sahabat-sahabat sekelian, semoga kita semua masih istiqomah melakukan yang terbaik Ramadhan kali ini sebab Ramadhan akan datang tidak tahu lagi adanya kita atau tidak.

Precious son hari ni masih cekal berpuasa.  Alhamdulillah.  Hari-hari menu berbukanya masakan Barat.  Hari ni hidang 100% masakan Melayu.  Tak nak layan lah kehendak dia hari ni.

Gandingan menu berbuka hari ni dilengkapkan dengan kuih Badak Berendam.  Saya tengok ramai pengunjung blog ni mencari resepi kuih Badak Berendam.  Memang kuih ni sedap dan sangat senang membuatnya.


Gandingan tepung pulut, inti kelapa dan kuah santan memang sedap dan mantap


Cara membuatnya lebih kurang sama je dengan puteri mandi cuma badak berendam berinti di dalam dan berkuah santan.  

Bahan-bahan tepung

1.  kali ni saya guna 1 paket tepung pulut
2.  Tiga helai daun pandan dikisar dengan 300ml air dan ditambah garam

Cara mengadun

1.  Campurkan air daun pandan tadi sedikit demi sedikit ke dalam tepung dan diuli sehingga tidak melekat di tangan

Bahan-bahan inti kelapa

1.  Kelapa parut yang muda
2.  Lebih kurang 2 ketul gula kabung dicampur dengan sedikit gula pasir (yg ni ikut tahap suka manis masing-masing)
3.  Sedikit garam

Cara mengadun

1.  Masukkan air ke dalam kuali dan cairkan gula serta tambahkan garam
2.  Bila gula sudah cair masukkan kelapa parut tadi dan digaul hingga masak.
3.  Ketepikan

Bahan-bahan kuah santan (kuantiti bergantung kepada banyaknya kuah yang kita nak)

1.  Santan dari 1 biji kelapa
2.  2 cawan air
3.  Sedikit garam
4.  3 sudu besar tepung gandum

Cara mengadun

Campur semua bahan dan masak sehingga kuah menjadi pekat.

Bila semua bahan dah siap, cubit adunan tepung bulat-bulatkan dan lubangkan ditengah.  Masukkan inti dan tutup semula.  Buat sampai habis.

Jerang air hingga mendidih dan masukkan kuih yang kita dah bulat-bulatkan tadi ke dalam air mendidih dan tunggu hingga kuih terapung.  Kacau-kacau supaya kuih tidak melekat antara satu sama lain.  Bila dah terapung, angkat dan masukkan dalam kuah santan.

Boleh lah dihidangkan.
Nota : Bahan resepi ini tidak mengikut sukatan yang tepat (senang cakap main agak-agak) ada plus minus nye ye.

Rasanya lemak-lemak masin manis.... sangat sedap.

Baiklah. Kepada yang sudi datang berkunjung ke laman blog ini saya ucapkan selamat datang dan terimakasih.  Adat orang Melayu bertandang, afdhal untuk kita ucapkan salam kepada tuan rumah. 

Selamat menyambung ibadah sahabat.  


Saturday, July 13, 2013

KUIH LAMA SI PUTERI MANDI

Salam

Hari ni Sabtu dah masuk Ramadhan ke 4.  Permulaan Ramadhan yang banyak sungguh banyak cabaran.  Menghadap kesesakan lalulintas yang memerangkap saya dalam kenderaan selama tiga jam setiap pagi, dengan mata yang separuh terbuka, mengantuk memang sungguh mencabar.  Almaklum bangun terlebih pagi...huhu..

Gambar hiasan je.. depan One Utama, sebelahnya ofis saya.. 

Ditambah sakit kepala yang teruk juga satu cabaran besar. Akhirnya sebaik berbuka dan bersolat Maghrib dengan my Precious son perkara pertama yang saya nampak ialah bantal. Telan ubat migrain, merangkak cari katil dan tutup mata.  Kesian precious son belum ada kesempatan ke masjid mengikut solat Tarawih.  In Sha Allah wahai anak, minggu depan mungkin ibu lebih sihat.

Jadi, datangnya Sabtu memang dialu-alukan.  Tak perlu menghadap sesak di jalanraya pagi dan petang.

Hari ini juga hari ke 4 My Precious berpuasa penuh.  Kalau tahun lepas dia cuma mampu berpuasa separuh hari, tahun ini positif nampaknya.

Berbuka hari ni juga istimewa.  Berbuka berselerak, duduk bersila di lantai beramai-ramai (kecuali precious emas, duduk berbuka di meja) sangat seronok, terutama my precious son.  Precious sister join iftar dengan kami bersama keluarganya.  Mee hailam, sambal sotong dan buah tembikai dari pihak dia.  Kami pula sediakan nasi dan lauk pauk, ayam masak merah, sup tauhu, kari ayam dengan sayur kacang panjang dan kuihnya puteri mandi.

Kepada yang tak tau kuih puteri mandi tu macamana rupanya, lihat gambar. Macamana buat?  Lihat bawah jugak.

1.  Ambil 3 helai daun pandan dan 'blend' dengan 1 1/2 cawan air, tapis dan campurkan dengan garam.

2.  1/2 paket tepung pulut diuli dengan cara memasukkan air pandan bercampur garam tadi sedikit demi sedikit hingga membentuk doh yang tidak melekat di tangan, macam kat bawah.


3.  Cubit sedikit, buat bentuk guli dan penyekkan tengahnya, macam di bawah.

 1/2 paket tepung pulut boleh dapat 2 pinggan besar tepung penyek aka sang puteri nih...

4.  Sediakan inti kelapa untuk 'mandikan' si puteri ni.. caranya

1/2 biji kelapa parut yang muda
 Seketul gula melaka atau gula kabung, boleh dicampur gula pasir
Sedikit air

Didihkan air dan larutkan gula melaka di dalamnya, bila sudah larut masukkan kelapa parut tadi.  Gaul hingga masak

Kurang gelap sebab ada sikit je gula kabung atau gula melaka

5.  Jerang air dalam periuk sehingga mendidih dan masukkan sang puteri ke dalamnya. 


dah timbul, kacau-kacau sikit dan angkat.  Gaulkan dengan inti kelapa yang dimasak tadi....

maka

mandilah sang puteri

jadilah

PUTERI MANDI!!!!...

Ada juga yang suka kaler-kalerkan tepung penyek aka sang puteri neh.. hijau, merah, putih.  Saya suka hijau dan berbau pandan.  Ikut kesukaan masing-masing.

Suka sangat kuih ni.  Dulu arwah wan suka buat.

Alhamdulillah, saat saya menaip ni, kuih ni dah langsai.  Harap minggu depan lebih ramai adik beradik join iftar di rumah precious emak.  Happy sangat dia dikelilingi anak-anak.  Semoga precious emak sihat sentiasa.  

Amin..

Jumpa lagi sahabat semua.  Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

Monday, February 11, 2013

HOMEMADE PIZZA JE HARI NI - RESEPI

Salam!

Dah nak habis cuti ye.  Esok last day.  

Langsung tak berjalan, ke mall pun tidak, ke mana pun tidak.  Duduk rumah menikmati kesantaian hidup. Bila fikir-fikir kesian pulak Muaz.  Berkawan baik dengan tv je.  

Lusa hidup kacau bilau semula.

Pagi tadi seisi rumah dengan tamu-tamu yang datang menjengah mak, kita hidang mihun goreng dan ubi rebus cicah kelapa parut.  Sedap tu.  

Petang ni rasanya kalau makan pizza sedap juga kan.  Maka, jadilah pizza yang dibuat oleh seorang yang tak sabar nak makan..hehe..


Base pizza saya guna :-

300g tepung roti
100g tepung gandum
1 sudu besar susu tepung
5g yis
1 sudu besar gula halus
25g marjerin

325ml air sejuk (yang ni agak-agak)
1/2 sudu kecil garam halus

Doh ni boleh dapat 4 biji base pizza size 6 inci.  Kalau buat dua je macam ni, dapat base pizza yang amat la tebalnya.  Makan satu slice dah sendawa.


Satukan semua bahan doh dan uli sebati.  Lepas tu masukkanlah air yang dicampur dengan garam sedikit demi sedikit sehingga mendapat doh yang lembut.

Tutup doh dan rehatkan lebihkurang 45minit.

Dah rehat tumbuk tumbuk doh dan uli untuk buang anginnya.  Bahagikan doh dan uli bentuk bulat, masukkanlah dalam dulangnya.

Rehatkan lagi dalam 20 minit bakar pulak hingga setengah masak dalam 15 minit.

Sapukan sos pasta atas base, saya guna tomato sos je.



Dalam gerobok ais cuma ada sosej (rebus dulu ye), tuna dengan cendawan je.  Potong ikut kesukaan hati dan tabur atas base pizza, bakar semula selama 20 minit.


Kalau ada mozarella cheese, boleh tabur.  Saya cuma ada cheese slice, potong kecil-kecil dan tabur.  Jadilah dari tak de langsung.



Dah masak, hidang untuk keluarga.

Sampai di sini dulu.

Semoga kita dipanjangkan usia dan diberi rezeki untuk berjumpa lagi.

Selingan

Saya mengambil kata-kata seorang usahawan berjaya berbangsa Tiongha berasal dari Kelantan

"Kalau kita inginkan kejayaan, teruskan berjalan ke depan, berjalan dan berjalan terus, jangan menoleh lagi ke belakang"

Sama-sama kita ambil pengajaran dari kata-kata insan berjaya ini.

Sunday, February 10, 2013

FLORA FAUNA, KUIH MELAKA - RESEPI


Salam Ahad!

Hari ni serius saya katakan, hati saya bersih dari sifat dengki pada suri-suri rumah dan pekerja dari rumah hari ini. Selalunya adala sikit rasa-rasa dengki dengki tu..hehe..

Sangat enjoy hari-hari cuti begini. 

Ramai yang tanya kenapa saya tak duduk di Kuala Lumpur dan masih setia tinggal di kampung saya yang terletak di pinggiran bandar ini.

Sebabnya saya memang tak boleh duduk kota.  Saya 'prefer' jadi anak kampung, tinggal di kampung sangat nyaman.  Mana nak cari bunyi siulan burung pagi-pagi masa kita bangun tidur, mana nak cari kupu-kupu bermain dan berterbangan hampir dengan kita masa musim membiak (betul! masa saya tulis entry ni banyak kupu-kupu), terbang sana-sini, mana nak cari bau rumput ditebas.  Semua tu cuma ada di sini, di kampung.


Kat kampung, nak asam terus petik di pokok macam pokok belimbing buluh ni. Belakang rumah je.

Buahnya berjuntaian sampai ke akar.  Sape nak boleh datang rumah saya, sekarang tengah banyak buah.


Hari-hari cuti macam ni boleh layan bunga orkid, yang ni rasanya dancing lady, masih putik.

Bunganya renik, banyak dari pangkat ke hujung.  Sangat cantik.


Tak dapat, si kupu-kupu atau sang rama-rama, dragon fly pun jadik lah..


Koleksi orkid mak yang sedang berbunga.. Ya Allah!  Panjangkan umur mak, rahmati dan sayangilah dia Ya Allah!.


Akar orkid ni pun nampak cantik ek.  Nampak macam gambar Pro tak?  hehe..semi pro pun jadiklaaa..


Bunga matahari Muaz dah berputik.  Tak lama lagi mesti bloom nih.

Pendekata, duduk di kampung sangat damai, nyaman dengan pokok melambai-lambai dan angin sepoi-sepoi bahasa.
Tambah duduk kat beranda mak sambil minum petang, kopi o lawan dengan kuih melaka.  

Kuih melaka ini asalnya dari Melaka ke tidak, wallahualam.  Orang Melaka mungkin boleh jawab soalan ni kot.

Tahun ini saya akan cuba mendokumentasikan resepi kuih tradisi yang Hajah Cik Wok buat, sayang kalau hilang begitu saja.

 Gambar Hajah Cik Wok hari ni tak dapat disnap sebab terlalu seksi..hehehe



Bahan membuat kuih melaka menggunakan
lebih kurang 250 - 300g tepung pulut
250 - 300g air yang dicampur  sedikit pewarna hijau epal dan 1 sudu teh garam

Air dituang ke dalam tepung pulut secara sedikit demi sedikit sehingga tepung menjadi doh dan tidak melekat di tangan dan bekas


Kemudiannya diuli sebati, macam ni


Hajah Cik Wok kata gula kabung atau gula melaka je sedap buat kuih melaka ni.  Lain gula tak umpphh.  Makanya, gula melaka dipotong kecil-kecil seperti ini


Ambil sikit doh dan buat macam dalam gambar.  Sumbatkan gula merah dalamnya, tutup semula dan bulat-bulatkan guna tapak tangan


Jerang air panas, bila menggelegak masukkan kuih yang dah dibulat-bulatkan tadi dan tunggu hingga ia timbul.  Timbul maknanya dah masak


Dah masak golek-golekkan atas kelapa parut yang dah dicampur sedikit garam.  Kelapa parut ni kalau nak tahan lama, kukus dulu baru digolekkan kat kuih.


Dah siap, boleh makan dah.

Selamat mencuba lah ye.  
Jumpa lagi.

Selingan

Rasulullah s.a.w pernah bersabda
"Tidak seseorang itu dikira kuat dan gagah apabila ia menang bergusti, tetapi seseorang dianggap benar-benar kuat dan gagah apabila ia mampu mengawal dirinya ketika marah" hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Nak jadi orang kuat dan gagah lawan dan kawallah perasaan marah.