Monday, October 31, 2011

BERSAMA YATT.....

Saya terserempak dan berkenalan dengan Yatt semasa membeli barangan bakeri lebih setahun yang lalu.  Dia menghulurkan kad perniagaannya.  Dalam hati "oooo ini ke Yatt".  Bangga dapat berkenalan dengan Yatt.  Hasil kerja tangan Yatt memang saya kagumi. Boleh katakan hari-hari saya membuka flickrnye  semata-mata mahu melihat lakaran-lakaran lukisan di keknya.  

Hampir sembilan bulan saya mempelajari teknik lukisan piping jel ini dengan Yatt di MySugarClass, namun saya tidak menerima tempahan, belum ada konfiden.  Pernah melakukannya dua kali sahaja untuk majlis harijadi anak tunggal saya.  

Orang kata kalau tidak mencuba, mana nak tau hasilnya.  Ya tak?  Kepada yang ingin menghadiahkan tersayang kek dengan lukisan piping jel ini, boleh menempahnya sekarang.  Saya sudah bersedia dari setiap sudut.. hehe.

Kepada Yatt, terimakasih tak terhingga... semua tips dan nasihat akan saya ingat sampai ke akhir hayat, dan terimakasih masih melayan pertanyaan saya.  Terimakasih! terimakasih! terimakasih!.

Yatt amat menyenangi watak SSC ini.

Ramai otai online bakers yang hadir di sessi ini antaranya ialah Kak Lea dari Lea Oven
 
Yatt, "konon"nya malu-malu nak mengajar. 
Note:- Cake by Lynn Hassan and Drawings by Yatt. link di sini

BALDU MERAH - BIB MPB

Popular sungguh kek Baldu Merah ini.  Istimewa kerana ianya berwarna merah.  Gabungan serbuk koko dan buttermilk menjadikan kek ini agak istimewa.  Gandingannya yang sesuai ialah Krim Cis yang dicampur gula, mentega tulin dan titisan perahan lemon.  Lebih sedap kalau difrost dengan Italian Meringue Buttercream. Ramai yang menyukainya kerana ia sedap atau trend, Wallahualam.  Apapun, saya tetap menyukai kek butter biasa, samada ianya pelangi, marble maupun oren.  Sedap dimakan begitu sahaja atau disaji bersama kopi panas. 


Thanks Bib for the order.  Harap u suka dan Cik Aiza juga suka.

ORKID OH ORKID

Kalau duduk di beranda luar rumah Mak, kepada yang meminati bunga, mata memang tak boleh lari dari deretan orkid yang subur.  Rasi sungguh tangan mak dengan tanaman orkid ini.  Bukan orkid saja, tangan mak serasi dengan makanan, jahitan malah sulaman mak juga cantik.  Walau cuaca hujan dan lembab ini menyebabkan bunga-bunga orkid yang berkembang cepat rosak, kudup bunga yang baru pasti terus tumbuh.  Along pun memainkan peranan juga, rajin mencari baja sesuai dan menyiram tanaman hijau ini.  Di bawah gambar-gambar bunga yang baru mekar, tak dapat tidak saya mesti mengatakan ianya sangat cantik.








CIKGU SKK

Rumah sebelah nampaknya sibuk membuat persiapan terakhir majlis perkahwinan anak perempuan mereka.  Nampak khemah bertema putih emas.  Mereka sibuk memasak saya sibuk membakar kek coklat untuk kawan Cikgu Azura.  Semasa kek dibakar dalam oven dan selesai menyiapkan coklat ganache, saya terus menjemput anak lelaki tunggal saya dari Sekolah Mengaji Al-Quran.  Kek Coklat Lembab dengan hiasannya simple saja.

Kek Coklat Lembab Ringkas untuk sahabat Cikgu Azura

Lama sungguh saya tidak berjumpa dengan Chef yang mengajar saya membuat tartlet blueberry, Chef Fauziah.  Teringat tips Chef Fauziah, lebihan kek coklat jangan dibuang, (selalunya kita akan memotong bahagian atas kek untuk menjadikan ia sama).  Tak perlu membazir kerana kita boleh buat truffle coklat.  Caranya mudah sahaja, hancurkan lebihan kek coklat tersebut dan gaulkannya dengan coklat ganache. Kepal-kepalkan dan golekkan atas beras coklat (chocolate rice) dan kemudiannya dimasukkan dalam paper cup.  Maka terjadilah kudapan di bawah :-

Bebola kek coklat (truffle)

RED VELVET KRIM CIS DAN BABY OKTOBER

Cuaca pagi Sabtu ni sememangnya mendung.  Kalau dapat sambung tidur sesudah Subuh pasti 'heaven'.  Usai menghantar Muaz ke Sekolah Mengaji AlQuran dengan Ustazah Ida, saya terus ke Bukit Rahman Putra untuk mendapatkan 'supply' mini bakery saya.  Boleh ke guna perkataan "mini bakery" ni.. rasa macam tak sesuai.  Aduh! Krim cis naik harga lagi.  Kalau dulu harga untuk 2kg Philadelphia Cream Cheese RM44.00 sekarang harganya mencecah RM55.00.  Mungkin saya perlu mencongak kembali senarai harga kek yang memerlukan bahan ini. 

Sekembali berbelanja, saya terus mengerjakan kek-kek simple untuk dihantar pada hari ini.  Cuma sebiji kek coklat lembab dan red-velvet untuk makan-makan birthday October babies nanti.  Oktober menyaksikan 3 kelahiran anak dan cucu dalam keluarga Khalijah (Wan).  Kepada Iwan (anak buah), Elyn (harilahirnya disambut 28hb), Eda (sister) dan Halim (suami), saya doakan semoga dipanjangkan umur, diberkati hidup, dimurahkan rezeki dan yang utama dengan bertambahnya umur, bertambah ilmu agar hidup mendapat keberkatan Ilahi.  Amin.

 Kek Red-Velvet dan Krim Cis
 Kek Coklat Mint
Selamat Hari Lahir .... Iwan (anak buah) dan Eda (sister).. Elyn (anak buah) tak dapat balik dan Halim (suami) tak mo bergambar

Thursday, October 27, 2011

KUIH TRADISI ABUK-ABUK - RESEPI


Mengemas gambar-gambar dalam kamera, terjumpa gambar kuih traditional ini, Abuk-abuk.  Buatnya senang tetapi rasanya sedap.  Saya pun dah lupa bila kuih ini dibuat untuk kudapan minum petang.  Walau apapun, mari kita tengok resepinya dahulu.  

BAHAN-BAHAN

2 cawan biji sagu
2 cawan kelapa parut
3 sudu makan gula merah
3 sudu makan gula putih
secubit garam
Calong daun pisang untuk memasukkan kuih

CARA MENGADUN

1.  Basuh biji sagu dan toskan
2.  Gaulkan sagu dengan kelapa dan tambahkan garam
3.  Campurkan gula pasir dan gula merah
4.  Masukkan 2 sudu campuran sagu ke dalam calong daun pisang dan sendukkan 1/2 sudu campuran gula
     dan kemudiannya 1 sudu campuran sagu
5.  Sematkan kemas calong daun pisang dengan lidi dan kukus selama 10 minit.
6.  Siap untuk dihidang

APAM MEKAR - RESEPI

Cuti perayaan Deepavali ini pasti ramai yang menunggu.  Macam saya, memang ternanti-nanti hari-hari cuti seperti ini.  Anak tunggal saya mengaji hari ni, so niat nak tidur balik lepas subuh terencatlah.  Cuaca lembab, tapi Wak Pani yang emak upah menebas rumput pagi-pagi lagi dah mulakan tugasnya.  Tak banyak yang dapat dibuat dengan cuaca macam ni. 

Ada niat nak buat biskut kegemaran Along Tart Nenas untuk Aidil Adha nanti, tapi melihat cuaca yang tak berapa elok, takut masa nak bakar nanti, guruh berdentam-dentum, terbantut nanti.  Aduh... bosan jugak duduk-duduk saja.  Nak membakar kek dan hias untuk syok sendiri, harga barang mentah dah naik melambung-lambung, nanti kek tu kering dalam peti ais aje, tak de sape teringin nak menjamah.  Anak tunggal saya pun tak minat makan kek, apa lagi mak dan along.  Agar-agar santan yang dibuat Ahad lepas pun, masih banyak dalam peti sejuk.  Teringat nak buat apam mekar resepi Chef Hanieliza.  Boleh buat makan petang nanti.  Congak punya congak buat setengah adunan, dapatlah dalam 20 biji.  Itupun, pagi tadi masih berbaki 12 biji.  Tak pe lah, sesiapa berminat bolehlah jenguk resepi di bawah. 

Ralat :- Gambar kurang elok sebab guna handphone je, kamera tertinggal kat opis.

APAM MEKAR

250g gula pasir
300g tepung gandum
1 st ovellete
2 biji telur
2 cawan susu segar
1 st esen vanilla

CARA MENGADUN

1.  Panaskan pengukus
2.  Pukul telur dan gula sehingga kembang dan gebu
3.  Masukkan ovelette dan esen vanilla, pukul lagi
4.  Masukkan tepung berselang-seli susu sehingga habis
5.  Pukul lagi dengan kelajuan tinggi hingga kembang
6.  Asingkan adunan kepada 2 atau 3 bahagian dan warnakan mengikut warna kegemaran
7.  Sediakan acuan apam letakkan paper cup di dalamnya
8.  Masukkan adunan ini ke dalam piping bag berasingan dan paipkan ke dalam acuan
9.  Kukus selama 15-20 minit
10.  Angkat dan boleh dihidangkan

Selamat Mencuba!