Wednesday, February 1, 2012

LEMPENG PISANG - BENTO

Catatan Isnin, 31 Januari 2012

Saya pernah terpandang resepi lempeng pisang aka pancake Chef selalu di hati, Kak Hanieliza.  Mudah disediakan dan rasanya pun tidak menghampakan.  Pisang adalah buah yang mempunyai potassium yang tinggi dan yang penting dengan waktu pagi yang amat terhad, saya memilih pancake pisang ini untuk habuan snek anak petang nanti.

Malangnya, akibat kelam kabut membuat dua tiga perkara dalam satu masa, lempeng pisang ini agak hangus, malu nak tunjuk, tapi saya nak syer jugak gambar dan resepinya.  Tak pe lah kan, janji sedap dan berkhasiat.


BANANA PANCAKE
resepi : Chef Hanieliza

BAHAN-BAHAN

8 biji buah pisang masak, dilenyek
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
2 sudu besar susu tepung
1 biji telur
1 cawan tepung
1 sudu kecil Soda Bikarbonat
Sedikit margerin

CARA-CARA

1.  Ayak tepung bersama Soda B dan ketepikan
2.  Campurkan pisang lenyek, garam, gula dan telur hingga sebati
3.  Masukkan bahan-bahan kering dan gaul hingga sebati
4.  Panaskan 'non-stick pan" dan gris dengan sedikit margerin
5.  Letakkan satu sudu makan penuh adunan, ratakan mengikut besarnya pancake yang anda inginkan
dan masak sehingga masak
6.  Terbalikkan pancake supaya di bahagian atasnya juga masak
7.  Hidangkan bersama madu, golden syrup atau jem mengikut kemahuan anda

SELAMAT MENCUBA YA.

KARIPAP ROTI PRATA - BENTO

Catatan Selasa, 1 Februari 2012

Setiap hari perkara pertama yang akan bermain di fikiran saya bila sampai di rumah ialah menu untuk snek anak waktu recess di sekolah.  Memandangkan anak saya bersekolah di sessi petang, susah juga menyusun jadual menu, saya perlu menyediakannya seawal 5 pagi untuk dimakan pada jam 3:00 petang nanti.  Makanan haruslah yang tidak cepat basi.  Tiada sayur mentah (anak saya menggemari karet, tomato dan timun dimakan mentah), makanan perlu digoreng garing dan mudah disediakan (mengambil masa kurang 20 minit untuk menyediakannya).

Lepas membuat timbangtara seadilnya, hari ini saya mengediakan karipap roti prata.  Saya guna roti prata segera jenama KAWAN pedas dan bawang putih.  Intinya menggunakan kentang dan burger daging Ramly (resepi saya ambil dari blog masakan popular Mat Gebu, terimakasih Encik Mat Gebu atas resepi yang enak ini).


RESEPI KARIPAP ROTI PRATA

Bahan Inti

1 biji kentang sederhana besar, didadu dan direbus hingga empuk (toskan airnya)
1 biji bawang besar, didadu kecil
2 ulas bawang kecil, dicincang halus
1 keping daging burger Ramly
1/2 camca besar cili kisar
1/2 camca besar tomato puree (saya guna buah tomato)
1 camca besar rempah kari daging
1/2 cawan air
Garam dan gula secukupnya
1 pokok daun sup, dihiris halus (saya tidak masukkan)
2 camca besar kacang pis (saya tidak masukkan sebab anak tak suka kacang pis)

BAHAN-BAHAN LAIN

2 keping roti prata instant
1 biji telur dipukul sedikit untuk disapu
Sedikit serbuk lada hitam (saya tak letak sebab tak de)

CARA MEMBUAT

1.  Panaskan sedikit minyak, tumiskan bawang besar dan putih hingga naik baunya.
2.  Masukkan cili kisar, rempah kari dan tomato puree, tumis hingga garing
3.  Masukkan daging burger yang telah dihancurkan, bersama air dan biarkan sehingga daging masak
4.  Bila mendidih, letakkan garam dan gula
5.  Campurkan kentang yang telah direbus tadi dan kacang pis ke dalam masakan
6.  Goreng hingga garing dan tutup api
7.  Gaulkan daun sup dan biarkan sejuk

8.  Masukkan inti kedalam roti prata, lipas dua dan klimkan dihujungnya.  Cucuk cucuk dengan garfu dan sapukan telur di atasnya.
9.  Bakar didalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 25 minit atau hingga masak dengan suhu 180 C
10.  Setelah masak dan garing, sejukkan atas redai.

Sedap dan mungkin akan diulang lagi... SELAMAT MENCUBA!

ORKID MEKAR SEGAR

Catatan Rabu, 1 Feb 2012

Diam tak diam kita sudah sampai ke bulan Februari.  Masa berlalu macam kilat, pantas, sedar-sedar dah masuk Februari.  Sejak anak menjejakkan kaki ke alam persekolahan, rasa macam 24 jam sehari tidak mencukupi...  pagi bangun dari tidur, sibuk dengan segala urusan rumah dan pejabat, sekejap hari sudah menginjak senja.  Sampai di rumah kelam kabut mengurus kerja rumah sambil melayan anak menyiapkan tugasan kerja sekolah, hari sudah hampir menginjak pagi. 

Sedar tak sedar, orkid yang tanam hampir beberapa tahun yang lalu, baru menghasilkan bunga.  Terserlah warnanya dicelah orkid-orkid lain yang disusun sebelah menyebelahnya, berwarna jingga pekat, sungguh cantik.  Ini bunga sulung orkid spesis ini di taman mak.

 

Sebab kesibukan masa, baru hari ini saya dapat berkongsi keindahan tumbuhan ciptaan Allah swt ini. 

Friday, January 13, 2012

BENTO ANAK KE SEKOLAH

Dulu para ibu sering membekalkan anak-anak ke sekolah dengan nasi berlauk.  Lauknya pula simple, telur goreng atau ikan goreng memadai dan nasi digaul kicap.  Waktu rehat tak sabar-sabar nak makan.  Walau sejuk tapi sedap menjilat jari.

Anak-anak sekarang untung.  Trend Bento atau dalam Bahasa Melayunya, Bekal la.  Bento berasal dari Jepun, bekas yang diisi makanan untuk makan tengahari.  Bagi bento sikecil dihias dengan pelbagai aksesori dan disusun cantik untuk menarik anak-anak makan.  Saya ada juga menyediakan bekal untuk anak bujang tunggal saya.  Nak kata ala-ala Bento laaa.. tapi tak lah secantik bento yang dihias.

 Sandwich kepingan ayam, kentang goreng dan limau

Bahan-bahan yang saya gunakan ringkas sahaja.  Senang beli je yang dah siap.

Untuk kepingan ayam

Ayam cincang
Bawang besar didadu
Bawang putih
Lada putih dan lada hitam ditumbuk
Serbuk roti
Garam
Telur
Susu Segar
Sedikit tepung gandum

Cara-cara

1.  Tumis bawang besar dan putih. 
2.  Dalam mangkuk yang lain, campur sebati ayam cincang, telur ayam, lada hitam tumbuk dan serbuk lada putih.  Campurkan bawang yang telah ditumis.  Masukkan serbuk roti dan sedikit tepung gandum
3.  Leperkan atau bentuk mengikut kesukaan
4.  Goreng dengan minyak sederhana panas

Kalau ada aksesori seperti toothpick berhias dan food divider, makanan tampak lebih cantik

Roti putih buatan sendiri dipotong bulat, diisi tuna dan klim ditepi menggunakan garfu agar mudah
sikecil memegang dan memakannya.  Buah belimbing saya letakkan dibahagian atas agar tidak
bercampur bau dengan sandiwich tuna

TRANSISI FASA KEHIDUPAN

Catatan 13hb Januari, 2012

Assalamualaikum.  Lama tak menjenguk laman blog ini, apatah lagi mengemaskini.  Semenjak anak bujang saya memasuki alam persekolahan, mixer entah kemana, tepung, gula entah kemana, apa lagi butter dan tepung.  Nasib baik jugalah mixer saya rosak, dan saya menolak semua order yang diterima.  Kalau tidak, kesian kawan-kawan yang membuat tempahan.

Bermula 4hb Januari, tarikh pertama anak ke sekolah, rasa seperti masa terlalu singkat.  Terlalu-lalu singkat.  Malam selepas balik dari kerja, masa saya ketat dengan kerja-kerja anak bujang selain kerja rumah yang perlu dihabiskan.  Alhamdulillah, wanita memang dianugerah Allah bersemangat tinggi dan punya tenaga lebih yang datangnya entah dari mana. 


Posing sebelum ke sekolah ** gambar kurang memuaskan **

Rasanya tiada ibu di dunia ini yang tidak risau melepaskan anak seusia 7 tahun bersendirian ketika pergi dan pulang dari sekolah.   Saya juga tidak dapat lari dari perasaan khuatir dan bimbang tika melepaskan Muaz menaiki van dan pulang dijemput PakCik Mai.  Apa lagi pada hari kedua persekolahan, ada kes cubaan menculik murid perempuan tahun 6 tika menunggu ayah mengambilnya, kejadian berlaku betul-betul di luar kawasan pagar sekolah.   Setiap langkah anak diiringi doa semoga tertutup dari pandangan mata-mata jahat, binatang buas dan syaitan.  Tidak lupa doa dipanjat agar anak kita sentiasa mudah menerima ilmu yang bermanafaat untuk dirinya dunia dan akhirat.


Segak di hari pertama persekolahan


Anak-anak sekarang tiada yang kelihatan takut atau resah



Sian anak ibu... pergi tadi handsome.. balik serabai.. hehe

Sama-sama lah kita berdoa agar anak-anak ini berjaya kehidupannya di dunia dan di akhirat... Amin..


Tuesday, January 3, 2012

DONUT LAGI - RESEPI

Catatan Ahad, 1hb Januari 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012 semua.  Meningkat setahun lagi umur kita ye.  Semoga kita semua lebih berjaya dunia dan akhirat.  Bagi diri saya, saya benar-benar berharap DLO akan dapat meneruskan usaha mengeluarkan kek, biskut yang berkualiti dan terjamin kebersihannya. Dan yang penting, ianya SEGAR.

Hari ini saya mencuba donut resepi Ma Mafami.  Sedap dan senang dibuat.  Resepi di bawah :-


DONUT

500g tepung protin tinggi (boleh dicampur dengan tepung gandum dengan kiraan 1:1)
11g yis (1 paket)
50g margerine
1 sb shortening
2 sb gula
2 sb susu tepung
1 biji telur (dipukul sedikit)
200ml air suam
Sedikit gula untuk coating

Cara-cara
1.  Dalam mangkuk yang besar, campurkan air suam, yis, gula, susu, margerine dan shortening dan gaul menggunakan sudu.  Biarkan selama 8-10 minit.
2.  Bila campuran yis sudah mula mengeluarkan buih, masukkan setengah tepung kedalam mangkuk, telur dan garam, gaul hingga tidak melekat pada sudu (satu arah sahaja)
3.  Bila sebati dan tidak melekat pada sudu, campurkan setengah lagi tepung dan kacau lagi dengan sudu.  Kemudian uli menggunakan tangan sehingga tidak melekat pada jari
4.  Doh tidak perlu direhatkan, boleh terus diterap dan digoreng.  Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan donut yang lebih bulat dan cantik, doh boleh direhatkan selama 10 minit lagi.
5.  Goreng dan selepas sejuk boleh ditabur gula atau diletakkan coklat cair.

MINI BURGER - RESEPI

Catatan Sabtu, 31hb Disember 2011

Hari Rabu depan, si bujang saya akan memulakan sessi persekolahan dalam Tahun 1. Ibu mana yang tidak risau melepaskan anak yang kita rasa masih kecil berseorangan di sekolah.  Maklum anak saya tunggal.  Paling saya risau tentang makan.  Jadi, saya prepare patty burger yang senang digoreng penjaga sebelum anak saya ke sekolah untuk bekalan. Kebetulan di Facebook Penyu Lawa baru memaparkan burger buatannya, walau mini burger saya tidak secantik burger buatan Penyu Lawa, rasanya tetap umpphh.. Resepi burger patty saya ambil dari Chef Anis dan resepi bun saya ambil dari jintanmanis (kalau tak silap).  Lebihan burger boleh dikerasbekukan.  Cubalah..


RESEPI BURGER PATTY

Bahan-bahan

400g daging cincang
1 labu bawang besar
1 labu bawang kuning
1 biji bawang putih
1 st paprika
6 sb sos tomato
6 sb sos bbq
1 biji telur

Cara-cara

1.  Tumis semua bawang sehingga naik bau
2.  Letakkan paprika, sos tomato dan sos bbq
3.  Goreng sehingga masak
4.  Angkat dan sejukkan
5.  Masukkan daging cincang didalam mangkuk sederhana besar
6.  Campurkan telur dan gaul sehingga sebati
7.  Sebatikan bahan tumis tadi ke dalam campuran telur dan daging cincang
8.  Masukkan serbuk roti sedikit demi sedikit
9.  Gaul sebati dan bentukkan patty mengikut kemahuan anda
10.  Goreng dengan sedikit minyak
11.  Sedia untuk diletakkan didalam roti

Hah! Tengok... siap untuk dimakan... 


Roti nampak macam topi alien pun ada.. kahkah...